Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sesuai dengan pendekatan dasar Islam parti itu, sesuatu tuduhan dan dakwaan perlu dibuktikan benar atau tidak sebelum dihukum dan dalam proses itu banyak aspek perlu beri penilaian untuk berlaku adil.
i Abdul Hadi Awang “Pas ambil pendirian untuk tidak mengamalkan budaya terus menghukum individu yang terlibat dengan dakwaan salah laku pengurusan 1MDB, jadi kita berkecuali dalam isu ini.
“Pendirian berkecuali ini bukan bermakna Pas membela orang yang jahat, tetapi kita mahu tuduhan itu dikendalikan seadilnya. Kita hendak orang yang dituduh dianggap tidak bersalah (sebelum dibuktikan).
“Dia baru dituduh, tapi apa yang berlaku pada budaya menghukun hari ini, bila tuduh sahaja terus dikatakan salah,” katanya ketika mengulas isu berkenaan dalam Program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa pembangkang boleh mengkritik pelaksanaan 1MDB namun mereka tidak boleh menafikan kebaikan dan faedah yang telah dikecapi oleh rakyat hasil pulangan badan pelaburan itu.
Menurut Najib, melalui pelaksanaan 1MDB juga telah membantu kerajaan dalam proses pelaksanaan program pemindahan dan pembinaan lapan kem baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan kos berjumlah RM2.7 bilion.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menjelaskan andai individu yang dituduh itu akhirnya terbukti melakukan salah laku pengurusan, rakyat tidak seharusnya lupa kepada faedah dan kebaikan kepada rakyat hasil badan pelaburan negara itu.
“Islam ini kalau menghukum orang bukan menilai salah dia sahaja, tetapi mesti lihat kepada jasa-jasa dia, bila dia buat baik mesti diambil kira jasa dia.
“Apa yang berlaku ini ibarat budaya Melayu mudah lupa, 1MDB yang dulu-dulu kita tidak boleh lupa semua. Mereka yang salah mesti dihukum tetapi jangan kita nilai kesalahan dia saja, tetapi juga jasa,” katanya.