Dalam jawapan bertulis di parlimen, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata permohonan itu menyentuh hubungan dua hala dengan Australia dan ia perlu dibuat secara berhati-hati.
Selain itu, katanya, usaha kerajaan untuk membawa pulang Sirul bagi menjalani hukuman mati menyentuh isu mengenai hak asasi manusia.
"Mengikut triti ekstradisi, dokumen permohonan ekstradisi perlu menyatakan hukuman yang akan dikenakan ke atas penjenayah tersebut (hukuman mati) yang telah dijatuhkan mahkamah persekutuan.
"Bagaimanapun Australia merupakan salah satu negara yang tidak menyokong pelaksanaan hukuman mati dan tidak diterima oleh masyarakat di sana," kata Zahid.
Katanya kerajaan boleh mengemukakan hukuman selain hukuman mati seperti penjara seumur hidup sekiranya berhasrat mengemukakan permohonan ekstradisi kepada mana-mana negara yang tidak menyokong hukuman mati.
"Kerajaan tidak mempunyai ruang lagi untuk berunding dengan Australia kerana makamah persekutuan telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul.
"Atas dasar itu,kerajaan masih lagi mengkaji kaedah terbaik untuk menangani isu tersebut," jelasnya.
Sirul dan seorang lagi tertuduh Azilah Hadri merupakan pegawai pengiring kepada Datuk Seri Najib Razak dan disabitkan hukuman mati oleh mahkamah persekutuan pada Januari 2015 kerana kesalahan membunuh Altantuya.
Sirul bagaimanapun berjaya melarikan diri ke Australia.
Pada tahun yang sama Zahid berkata Malaysia akan membuat
pemohonan untuk mengekstradisi Sirul dari negara kangaroo itu
Dalam satu wawancara dengan
Malaysiakini, Sirul mendakwa dia melakukan jenayah itu kerana mengikut arahan dan mereka yang mempunyai motif membunuh Altantuya masih bebas.