Penasihat Undang-Undang Bersatu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihaknya sedang menyediakan segala dokumen diperlukan, namun enggan mengulas kandungan kontrak tersebut.
“Kontrak yang hendak ditandatangani Bersatu disediakan kepada semua calon wakil rakyat. Selain mengangkat sumpah, kontrak dibuat agar tiada calon melompat parti dengan mengenakan sejumlah pampasan.
“Perjanjian ini dibuat bagi melumpuhkan perkara yang mencacatkan demokrasi berparlimen,” katanya, semalam.
Mengulas mengenai laporan mengenai jumlah pampasan lompat parti itu bernilai RM20 juta, Mohamed Haniff enggan mendedahkan jumlah sebenarnya.
“Ia (jumlah pampasan) mungkin akan menjengkelkan mata orang. Tetapi ia satu jumlah yang perlu untuk kembalikan sistem demokrasi berparlimen yang sihat.
“Supaya parti-parti yang membuat duit haram daripada pentadbiran sebelum ini tidak menggunakan duit haram untuk mengharamkan demokrasi berparlimen,” katanya.
Katanya, Bersatu bagaimanapun tidak berhasrat mengutip satu sen wang daripada calon mereka kerana menganggap calon yang dipilih tidak akan menipu rakyat.
“Kalau Umno atau kerajaan hendak beli, mereka kena sediakan dengan wang sebanyak itu. Sanggupkah mereka hendak beli. Ini sebenarnya konsep untuk menyihatkan sistem demokrasi berparlimen.
“Sama ada jumlah itu munasabah atau tidak (bukan isu), yang tidak munasabah adalah membeli wakil rakyat daripada parti lain,” katanya.
Mohamed Haniff berkata, seorang wakil yang lompat parti, sama ada mereka ditawarkan wang ringgit, jawatan atau kesenangan oleh pihak ketiga, adalah individu yang menjahanamkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tariq Ismail mendakwa ada kemungkinan Ahli Parlimen Pakatan Harapan ditawarkan wang untuk melompat parti.
“Sebab itu mereka dicadangkan menandatangani kontrak. Jika lompat, mereka perlu membayar penalti RM20 juta,” katanya.